3 Aug 2011

SEJARAH MAKTAB SANDAKAN MENJADI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TAWAU, SABAH.

( SEJARAH MAKTAB PERGURUAN SANDAKAN, SABAH )


Maktab Perguruan Sandakan merupakan maktab yang ketiga ditubuhkan di Sabah selepas Maktab Perguruan Kent (1952) dan Maktab Perguruan Gaya ( 1963). Pembinaan maktab dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kedua (1971 – 1975) dan dibiayai oleh Bank Dunia. Bangunan maktab terletak di kawasan berbukit seluas 5 ekar di Batu 1 ½, Jalan Labuk, Sandakan. Pembinaan bangunan-bangunan maktab telah melalui tiga peringkat pertama ( 1971 – 1973) pembinaan tujuh buah bilik kuliah, dua blok asrama lelaki, dua blok asrama perempuan, satu blok rumah pensyarah, sebuah rumah Pengetua dan dua buah rumah pekerja, peringkat kedua ( 1978 – 1982 ) pembinaan perpustakaan dan tambahan ruang pejabat, dan peringkat ketiga ( 1991 – 1992) pembinaan sebuah blok kuliah empat tingkat yang siap dibina pada Januari 1995.

Pembukaan rasmi maktab telah disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 13 Mei 1997 di mana pada masa itu Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Kursus-kursus perguruan bermula pada tahun 1974 dengan pengambilan 80 orang guru pelatih terdiri dari 36 orang guru pelatih Kursus Sekolah Menengah Pengajian Melayu, Geografi, Sejarah dan Bahasa Inggeris dan 44 orang guru pelatih Kursus Perguruan Sekolah Rendah Pengajian Melayu dan Bahasa Inggeris. Selepas tahun tahun 1985 Kursus Perguruan Sekolah Menengah tidak ditawarkan lagi dan pengambilan guru pelatih diterapkan bagi Kursus Perguruan Sekolah Rendah sahaja. Semasa permulaan kursus pada tahun 1974 maktab hanya mempunyai 9 orang staf akademik dan 12 orang staf sokongan.

Dari tahun 1974 hingga 1980 pengurusan dan pentadbiran Maktab Perguruan Sandakan diletak di bawah Jabatan Pendidikan Sabah. Mulai 1981 pengurusan dan pentadbiran Maktab diletak di bawah Bahagian Pendidikan guru, Kementerian Pendidikan Malaysia.


Maktab Perguruan Sandakan mampunyai beberapa objektif seperti berikut:

1. Melatih dan mengeluarkan guru-guru sekolah dalam bidang mata pelajaran Pengajian Melayu, Pengajian Inggeris, Matematik dan Sains yang berkelibar dan berkesan.

2. Merancang, mengelola dan melaksana program pendidikan pemulihan bagi guru-guru terlatih melalui aktiviti Kursus Dalam Perkhidmatan.

3. Merancang dan mengelola program pendidikan perguruan yang seimbang dan menyeluruh serta bermutu tinggi melalui struktur kurikulum dank o-kurikulum yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidika Guru untuk mengeluarkan guru-guru yang boleh menjadi pemimpin di sekolah dan dalam masyarakat tempat mereka bertugas.

Sehubungan dengan ini identity pengkhususan maktab ialah sebagai pusat pendidikan perguruan sekolah rendah dan pusat kajian dan pembangunan pendidikan pemulihan dalam pelbagai mata pelajaran seperti Pengajian Melayu, Pengajian Inggeris dan Matematik.

Maktab Perguruan Sandakan mengendalikan tiga jenis kursus seperti berikut:

1. Kursus Perguruan Asas sepenuh masa yang dijalankan bagi tempoh lima semester atau 2 ½ tahun bagi Perguruan Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Matematik-Sains dan Bahasa Inggeris. Manakala bagi kursus Diploma Perguruan Malaysia telah dimulakan pada Ogos 1996.

2. Kursus Perguruan Asas Dalam Masa Cuti yang dijalankan pada masa cuti semester sekolah selama tempoh 3 tahun dan diikuti dengan kursus sepenuh masa selama satu semester di maktab bagi Perguruan Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu.

3. Kursus Dalam Perkhidmatan bagi mata pelajaran Pemulihan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu dan bagi mata pelajaran Pendidikan Matematik.
Kursus-kursus ini bermula pada 25 Julai 1994 yang lalu dengan pengambilan seramai 20 orang guru bagi Bahasa Melayu dan 20 orang guru bagi Matematik. Bagi 1995 bilangan pengambilan adalah sama. Walau bagaimana pun dalam tahun-tahun 1985, 1986. 1987 dan 1989 Kursus Dalam Perkhidmatan dalam mata pelajaran Pemulihan telah dijalankan. Bilangan yang dilatih sehingga 1989 ialah 154 orang guru.

Dalam usia yang ke-25 tahun Maktab Perguruan Sandakan telah melatih dan mengeluarkan seramai 4714 orang guru pelatih yang terdiri daripada 2762 orang guru kelulusan Kursus Perguruan Asas dan 1952 orang guru Kelulusan Kursus Dalam Masa Cuti.

Nama-nama Pengetua Maktab Perguruan Sandakan adalah seperti berikut:

1. Y.M. Raja Zain Bin R. Harun (1974 – 1977)
2. En. Abd. Wahab Bin Hashim (1978 – 1979)
3. En. Abdul Manaf Bin Jaafar (1980 – 1984)
4. En. Tajuddin Bin Hj. Hussein (1984 – 1987)
5. En. Dahli Bin Mohd. Elias (1987 – 1992)
6. En. Hashim Muzbidi Bin Ahmad ( Pemangku Pengetua) (1992)
7. En. Abdul Jalil Bin Hj. Tahir (1994 – 1998)
8. En. Yew Guan Teik (Pemangku Pengetua) (1998)
9. Tn. Haji Amin Bin Arif (1998 – 1999)
10. Tn. Haji Chaming (1999 – 2001)
11. Pn. Normah Binti Gagoh (2001 – 2003)
12. Pn. Mary Yap Ka Chin ( Pengarah )(2003 – 2005)
13. P. Hajah Masni Binti Madat ( Pengarah ) ( 2005 – kini 2010)

Oleh kerana kedudukan Maktab Perguruan Sandakan terlalu kecil, tambahan pula kemudahan sukan seperti padang bola, gimnasium dan sebagainya tidak terdapat maka Maktab Perguruan Sandakan telah berpindah ke Daerah Tawau iaitu Maktab Perguruan Tawau yang terletak di KM 36, Balung.

1 Aug 2011

SESI PENDAFTARAN PELAJAR BAHARU PPISMP JUN 2011

Pendaftaran pelajar baharu ambilan tesl-bi di IPG Kampus Tawau telah bermula pada 19-20 Jun 2011 (Ahad - Isnin)bertempat di perkarangan Kolej Kediaman yang terletak di Wisma Alamanda. Rata-rata pelajar yang melapor diri terdiri daripada warga bumiputra sabah seramai 40 orang perempuan dan 11 orang lelaki, namun seorang calon lelaki menolak tawaran.

seramai 6 orang Ahli Jawatankuasa Kebajikan Kolej kediaman yang terdiri daripada pelajar senior banyak membantu dalam sesi pendaftaran dan penempatan asrama.

Turut ke Kolej Kediaman adalah artis bumiputra Sabah iaitu Abu Bakar Ella yang mendaftarkan anaknya ke Ipg Tawau.

30 Mar 2011

WISMA ALAMANDA

Wisma Alamanda merupakan kolej kediaman Lelaki dan Pejabat Pengurusan Kolej Kediaman terletak di sini pada tahun 2009.

28 Mar 2011

KOLEJ KEDIAMAN

Kolej kediaman Ipg Kampus Tawau terdiri 6 wisma atau 6 bangunan asrama. 3 wisma perempuan dan 3 wisma untuk pelajar lelaki. 6 Wisma terdiri daripada wisma alamanda, Wisma Dahlia, Wisma Mawar, Wisma Teratai, Wisma Semarak dan Wisma Akasia. Kolej Kediaman merupakan bangunan yang terbesar dalam liputan kawasan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Sabah. Kawasan kolej kediaman merangkumi sebuah surau dan sebuah kafeteri.